KOTA KINABALU: Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, orang Sabah mula dapat melihat parti Warisan sebenarnya ialah alat Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, ini menyebabkan rakyat Sabah marah kerana nasib mereka semakin tidak terbela.

“Janji 20 peratus royalti minyak untuk Sabah yang dibuat oleh PH ternyata menipu… Orang Sabah marah dengan pemotongan bantuan rakyat, berkurangnya projek Sabah… sijil sementara pendatang, suku kaum tertentu terabai… ini semua menyebabkan rakyat Sabah marah, ” kata beliau menerusi ciapan di Twitter.

Satu daripada sembilan janji utama kepada rakyat Sabah dan Sarawak menjelang PRU lalu ialah memberi 20 peratus royalti minyak.

Namun, selepas 19 bulan memerintah PH gagal mengotakan janji mereka.

Malah cukai hasil minyak dan gas sebanyak lima peratus kepada Sarawak juga gagal dilunasi.

Sejak PH memegang tampuk pimpinan kerajaan setelah menang dalam PRU-14, perubahan positif yang diharapkan oleh rakyat ternyata tidak menjadi kenyataan.

Satu per satu, rakyat dihidangkan dengan kegagalan PH terutama dalam membela nasib rakyat.

Pergolakan dan perbalahan anggota parti PH juga menyebabkan rakyat muak.