KUALA LUMPUR: Polis menahan enam individu disyaki terlibat kes bunuh seorang pemandu Grab di sebuah premis kedai berhampiran Taman Berjaya, Kajang, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, dalam satu kenyataan  yang dipetik Astro Awani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengenai kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 30-an dipercayai datang ke premis tersebut untuk berjumpa dengan salah seorang pekerja di situ dan telah berlaku perselisihan faham, sekali gus pergaduhan tercetus.

“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang telah menahan enam individu berumur lingkungan 23 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat ASP Siti Sarah Aisyah Saad di nombor 016-4064202,” jelasnya.