BINTULU: Kepesatan pembangunan di Bintulu perlu mengambil kira keperluan sistem perparitan yang baik bagi memastikan tiadanya masalah banjir kilat yang sering berlaku ketika musim hujan.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu turun padang dengan melihat sendiri masalah yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian secara bersama.

“Pembangunan yang pesat di Bintulu perlu mengambil kira sistem perparitan yang sedia ada dengan membina parit sekiranya perlu agar air dapat mengalir dengan sempurna.

“Ini membolehkan pembangunan yang dibina tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Banjir Bahagian Bintulu Bil.3/2019 di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.

Pada mesyuarat itu juga, Datuk Seri Tiong meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan konsultan berbincang dengan Pejabat Daerah Bintulu bagi menangani masalah sistem perparitan di Kampung Assyakirin yang menyebabkan banjir kilat.

“Monsun Drain yang ada di Kampung Assyakirin Fasa1, Fasa 2 dan Fasa 3 perlu dinaik taraf sehingga ke muara atau sehingga ke Tidal Gate.

“Ini bagi membolehkan air parit mengalir dengan lancar dan mengelak daripada tersekat yang boleh mengakibatkan banjir kilat,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPS Bintulu mencadangkan supaya dilakukan beberapa tindakan bagi mengurangkan banjir pada musim tengkujuh ini.

Antara langkah yang dicadangkan ialah membersih dan membuang kelodak di Sungai Sibiew dan Sungai Sebab di Kampung Kemunting dan membina takungan air di kawasan berdekatan UPMKB sebelum ia di alirkan ke parit agar parit tidak melimpah semasa hujan lebat.