KUALA LUMPUR: Mutakhir ini seperti ada satu gerakan untuk menghidupkan semula gagasan pemikiran  yang dipelopori oleh Karl Marx di Malaysia. 

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, yang terkini dianjurkan program-program tertentu untuk memperingati tokoh-tokoh pendukung idealogi ini malah wujud desakan untuk mengiktiraf mereka sebagai negarawan. 

“Selain daripada itu, terdapat pula suara-suara yang mencadangkan supaya sejarah negara ini ditulis semula khususnya sejarah sebelum kemerdekaan. Kesemua ini sudah tentu menimbulkan persoalan tentang tujuan mengapa idealogi dan pendukung-pendukungnya perlu diiktiraf?,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Jelas beliau, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 sebenarnya adalah antara pertubuhan yang mendukung idealogi Sosialisme Marxisme. 

“Ia ditubuhkan untuk mewujudkan sebuah negara Sosialisme atau masyarakat Komunis di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Kewujudan PKM adalah kesinambungan daripada Parti Komunis Nanyang (NCP) yang telah ditubuhkan sebelumnya pada tahun 1925. Sekali gus fakta sejarah ini menafikan dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai di Parlimen baru-baru ini, PKM ditubuhkan untuk menentang penjajahan Jepun,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, berdasarkan hakikat sejarah,  adalah tidak benar sama sekali untuk menabalkan PKM sebagai pejuang kemerdekaan, kerana tujuan utama mereka bukanlah untuk memerdekakan negara sebaliknya untuk menjadikan negara ini sebuah Republik Sosialisme. 

“Pada peringkat awal memang terdapat Pejuang Islam dan Nasionalis Melayu yang menganggap PKM sebagai rakan kerjasama, tetapi sebahagian besar mereka kemudiannya memisahkan diri dari bekerjasama dengan PKM apabila mula menyedari tujuan sebenar PKM. Mereka yang tidak memisahkan diri kemudian terus menjadi anggota PKM,” katanya lagi.