SERIAN:  Seorang lelaki berusia 30-an dari sebuah kampung di Simunjan terbunuh dipercayai tertembak dirinya sendiri pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Merbin Lisa berkata mangsa berada dalam keadaan kritikal di atas tilam di dalam bilik tidurnya,  dengan separuh daripada mukanya hancur.

Mangsa, katanya,  ditemui kakaknya selepas dikejutkan bunyi tembakan sekitar jam 4 petang. 

“Mangsa terbaring di atas tilam di dalam bilik tidur dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dengan bahagian muka sebelah kiri hampir hancur dan didapati terdapat senapang patah milik mangsa berada di atas pahanya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak lama selepas itu, mangsa didapati tidak lagi bernyawa dan disyaki mangsa tertembak diri sendiri,” katanya lagi.

Jelasnya, kakak mangsa turut memberitahu mangsa tiada masalah kemurungan dan tiada juga masalah dengan ahli keluarga yang lain.

Mangsa dibawa ke Hospital Serian sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.