PUTRAJAYA: #JOMTEKSI perkenal program baharu beri manfaat kepada pemandu teksi dan pengguna celik digital melalui Touch ‘n Go eWallet.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, menjelaskan penggunaan tanpa tunai untuk mobiliti merupakan antara transformasi #JOMTEKSI yang bertujuan menyediakan ekosistem yang lebih inklusif untuk pemandu teksi berkembang dalam ekonomi digital.

“Selari dengan Dasar Pengangkutan Negara yang menekankan usaha mewujudkan ekosistem mampan dan cekap, ianya dapat memanfaatkan infrastruktur sedia ada dan memperbaiki pengalaman pengangkutan.

“Kementerian optimis usaha ini bukan sahaja memanfaatkan rakyat malah turut memastikan industri teksi terus maju,” katanya ketika merasmikan #JOMTEKSI di Kaunter Teksi Putrajaya Sentral, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong, berkata industri teksi ketika ini berdepan dengan evolusi digital dan memberi peluang kepada pihaknya menyediakan perkhidmatan mobiliti yang pantas dan lancar.

“Sebagai rakan kongsi dalam pembangunan pengangkutan di negara ini, kami melihat inisiatif ini daripada perspektif berbeza.

“Pertama, ia memberikan pilihan mobiliti tambahan tanpa tunai dan kedua memacu platform kewangan yang lebih meluas, inklusif dan beri manfaat kepada pemandu teksi serta penumpang,” katanya ketika ditemui.

Bagi mana-mana pemandu teksi yang ingin menyertai komuniti #JOMTEKSI ini mereka boleh mendapatkan maklumat di Koperasi Pengangkutan Putrajaya & Cyberjaya, EzCab, PicknGo atau Taxi Comfort.