BAU: Sebanyak enam buah kampung di daerah Bau menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri hari ini.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebanyak 579 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri diserahkan kepada pemiliknya.

Jelas beliau, tanah tersebut diukur melalui Program Pengukuran Kampung Tradisional untuk kegunaan kediaman.

Manakala tanah untuk tujuan pertanian yang diukur dalam Kawasan Pembangunan Tanah SALCRA diberikan kepada 827 orang pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Melalui program pengukuran kampung tradisional, penerima surat hak milik tanah pada hari ini adalah dari Kampung Suba Bau, Kampung Suba Buan, Kampung Suba Bandar, Kampung Tasik Biru, Kampung Skiat Lama, Dan Kampung Skiat Baru.”

“Bagi kawasan pembangunan tanah SALCRA pula, peserta dalam estet kelapa sawit yang akan menerima surat hak milik tanah pada hari ini adalah dari Estet SALCRA Bratak, Estet SALCRA Jagoi, Estet SALCRA Stenggang, Dan Estet SALCRA Undan.”

“Penyerahan surat hak milik tanah sebanyak 473 lot secara keseluruhan di enam buah kampung kita beri kepada pemilik tanah,” kata beliau semasa berucap di Majlis Penyerahan Geran Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, Taklimat Transformasi Pertanian Dan Pelancaran Buku ‘The Blueprint For Bau District 2016 – 2030’ Sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep pula menyifatkan pemilikan surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang diterima oleh penduduk Bau adalah hasil dari proses yang berterusan.

Katanya, proses tersebut adalah untuk memperkasakan status sosio ekonomi di Daerah Bau.

Beliau juga percaya status sosio ekonomi di Daerah Bau dapat berkembang melalui keusahawanan dan perdagangan yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar tidak terlalu ‘main politik’ atau mempolitikkan semua isu namun seharusnya lebihkan sumbangan kepada komuniti.

Manakala bagi Monica Dara, penduduk Kampung Tasik Biru yang juga merupakan salah seorang penerima Surat Hak Milik Tanah, ternyata gembira dan bersyukur.

Katanya, usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menerima Surat Hak Milik Tanah Di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri hari ini.

Selepas diiktiraf sebagai Kampung Tradisi Tasik Biru pada tahun 2015, kampung tersebut turut menerima pelbagai kemudahan lain seperti dewan masyarakat, bekalan elektrik, bekalan air dan lain lagi.