KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoalkan  motif sebenar tuntutan DAP yang mahu Pilihan Raya PBT diadakan semula? 

“Adakah DAP sudah terlupa atau buat-buat lupa berkenaan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan berkenaan isu ini?,” kata Ketua Pemudanya, Mohammad Rashidi Abdul razak dalam satu kenyataan.

Katanya, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mahu mengingatkan DAP bahawa pada 10 Disember 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menegaskan “Tiada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kerana ia boleh mengeluarkan hasil yang salah.” Perdana Menteri juga menjelaskan Pilihan Raya PBT boleh mengundang konflik di antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.

Atas tujuan apa DAP mahukan Pilihan Raya PBT ini dilaksanakan semula sedangkan ianya tidak pernah dilaksanakan semenjak Kerajaan Persekutuan menggantungkan pelaksanaannya melalui Undang-undang Darurat pada tahun 1965?,” katanya.”

“Adakah DAP mahu menguasai PBT yang berkuasa besar dalam menentukan dasar, polisi, dan pengeluaran pelbagai jenis lesen termasuklah lesen penjualan arak, premis perjudian dan pusat hiburan?,” tegasnya.

Beliau berkata, dalam keadaan hidup rakyat di bandar yang kian tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, sepatutnya DAP yang menjadi parti komponen kerajaan yang memerintah memikirkan solusi kepada bebanan hidup rakyat. 

“Belum cukupkah lagi kuasa yang sudah dinikmati oleh DAP sekarang?,” ujarnya.

Jelasnya, Pilihan Raya PBT juga akan menjurus kepada pembaziran wang rakyat kerana ia memerlukan kos wang perbelanjaan yang besar menelan jutaan ringgit. 

Katanya sinis, pemimpin ulung DAP, Lim Guan Eng sendiri yang siang malam menyebut berkenaan hutang negara RM1 trilion, jadi mengapa mahu membazirkan wang rakyat untuk tujuan menunaikan impian DAP ini.

Justeru,  tegasnya, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar DAP mematuhi dan menghormati pendirian yang sudah dibuat oleh Perdana Menteri.

Seandainya DAP terus berdegil enggan mematuhi pendirian kerajaan yang mereka sendiri pimpin maka sebaiknya DAP berundur keluar daripada terus menjadi duri dalam daging dan musuh dalam selimut Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.