KUALA LUMPUR: Angin kencang 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di beberapa kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah dan Sarawak hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)  dalam satu kenyataan malam tadi berkata, kejadian ini  dapat mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

Ketua Pengarahnya, Jailon Saimon berkata amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga 14 Dis (Sabtu).

Katanya, kawasan yang terjejas di Pahang adalah di daerah Rompin manakala di Johor kawasan terjejas adalah di daerah Mersing dan Kota Tinggi.