LIMBANG: Beberapa projek yang melibatkan pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan baik pulih rumah telah pun dilaksanakan di Bahagian Limbang pada tahun lepas dan tahun ini.

Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, berkata projek ini melibatkan beberapa pembinaan rumah bagi PPRT dan baik pulih rumah yang sedia ada.

“Pada tahun 2018, terdapat tujuh buah buah rumah baharu bagi projek PPRT Tambahan dibina dengan kos keseluruhan berjumlah RM476,000.

“Manakala, projek baik pulih rumah pula melibatkan 10 buah yang berjumlah RM150,000 dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Kumpulan Berfokus Pembasmian Daerah Limbang Bil.2/2019 di Pejabat Daerah Limbang pada Khamis.

Turut dilaporkan perkembangan PPRT bagi 2019 di kawasan DUN Batu Danau dan DUN Bukit Kota.

“Bagi kawasan DUN Bukit Kota sebanyak RM75,000 telah diperuntukan bagi melaksanakan 5 buah rumah PPRT dan begitu juga DUN Batu Danau yang sama jumlahnya RM75,000 dan 5 buah rumah.

“Kos keseluruhan bagi kedua-dua projek PPRT 2019 itu berjumlah RM150,000,” ujarnya.

Agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertanian Sarawak turut membentangkan dan melaporkan prestasi serta kemajuan program yang dilaksanakan pada 2018 dan 2019.