Saturday, June 25, 2022

Perbalahan dalaman PKR gugat peluang Anwar jadi Perdana Menteri

Secara Rawak

Polemik yang kian meruncing melanda PKR yang merupakan parti dominan dalam gabungan PH yang menjadi peneraju negara memberi banyak implikasi negatif kepada negara. PKR merupakan sebuah entiti politik yang wujud untuk memperjuangkan keadilan serta reformasi dalam negara bakal terkubur sekiranya polemik yang melanda tidak diselesaikan sebaik-baiknya oleh pimpinan parti.

Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti jelas dicabar dengan polemik yang melanda PKR kini. Kebijaksanaan beliau sebagai seorang pemimpin diuji dalam polemik yang berlaku dalam parti kini. Tambahan pula, beliau diuar-uarkan bakal menjadi Perdana Menteri ke – 8 negara dalam perjanjian PH. Kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin harus ditunjukkan dalam menangani masalah yang berlaku dalam parti.

Perkara ini penting bagi meyakinkan rakyat bahawa beliau mampu menjadi pemimpin nombor satu negara. Polemik yang melanda parti perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum beliau menerima baton sebagai Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad. Kredibiliti serta ciri kepimpinan beliau dalam menyelesaikan polemik melanda PKR ini dijadikan salah satu penandaarasan kepada kebolehan beliau menjadi pemimpin nombor satu negara.

Persoalannya, adakah Anwar sebagai Presiden parti mampu untuk menyelesaikan polemik yang melanda PKR kini? Sejauh manakah polemik dalaman PKR ini memberi implikasi kepada Anwar yang bakal di angkat sebagai PM ke – 8 negara? Persoalan ini boleh difikirkan.

Terbaru, timbul dakwaan berkenaan dengan serangan seksual berkaitan dengan Presiden PKR ini oleh bekas penyelidik yang bekerja dengan beliau sebelum ini. Dakwaan seperti ini terus menjejaskan imej serta reputasi Anwar sebagai seorang Presiden parti dan bakal PM. Isu terbaru ini terus menambah bebanan kepada Anwar sebagai seorang pemimpin. Apa yang berlaku seolah-olah satu usaha untuk menidakkan Presiden PKR ini menjadi PM ke – 8 negara.

Dalam konteks parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PH, PKR seharusnya memastikan suara mereka bergema dalam PH. Inisiatif untuk memperkukuhkan parti serta sokongan dan dukungan rakyat harus menjadi agenda utama parti daripada terus bercakaran sesama mereka. Sebagai Presiden yang bertanggungjawab, Anwar harus bertindak bagi menyelesaikan polemik yang ternyata bukan sekadar kocakan air dalam cawan seperti yang didakwa oleh penasihat PKR.

Malahan, kocakan air seperti tsunami boleh berlaku dalam PKR sekiranya tiada pendekatan atau inisiatif di ambil oleh pemimpin parti terutama Presiden untuk menyelesaikan apa yang berlaku dalam PKR. Tindakan tegas perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini tanpa menjejaskan parti. Ini amat memerlukan kebijaksanaan Anwar sebagai seorang Presiden.

Apa-pun, apa yang berlaku dalam PKR ini memang menjejaskan peluang kepada Anwar untuk di angkat menjadi PM ke – 8 negara. Polemik ini memang boleh mengagalkan Anwar sekali lagi untuk di angkat menjadi PM. Adakah apa yang berlaku dalam PKR ini merupakan strategi pihak tertentu yang tidak mahu melihat Anwar sebagai PM?

Ironinya, polemik serta isu terbaru yang mengaitkan Presiden PKR ini makin memperlihatkan kekangan yang boleh menyebabkan impian Anwar untuk menjadi PM tidak akan menjadi kenyataan. Namun begitu, jaminan Tun Mahathir yang beliau akan mengotakan janji untuk menyerahkan tampuk pimpinan kepada Anwar mungkin dapat melegakan Anwar setakat ini.

Apa yang penting sekarang, Anwar harus meyakinkan rakyat bahawa beliau memang patut dipilih untuk mengemudi bahtera Malaysia dalam pimpinan PH. Realiti adalah makin banyak onak duri yang perlu Anwar tempuhi untuk menjadi PM ke – 8 negara. Cabaran sudah pasti kian datang pada tahun hadapan bagi Anwar.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru