LUNDU: Penerangan kepada masyarakat akar umbi mengenai inisiatif baharu penyukatan tanah hak adat bumiputera (NCR) amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, penganjuran Forum Kanun Tanah merupakan pendekatan yang dilakukan bagi tujuan berkenaan.

“Menerusi itu, wakil-wakil dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Jabatan Peguam Besar Sarawak dan agensi lain dapat menjelaskan berkenaan pindaan Kanun Tanah Negeri (2018) kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018 di Dewan Mahligai Gading, Lundu, semalam.

Jelas Jamilah Anu lagi, keperluan mengetahui tentang tanah Pemakai Menua dan Pulau Galau atau dikenali sebagai ‘domain sempadan bumiputera’  (NTD) dan tanah NCR juga penting.

Sementara itu, beliau memberitahu, peruntukan dalam Bajet Sarawak 2020 bagi tujuan penyukatan tanan NCR dan NTD turut merangkumi kawasan di daerah Lundu.

“Kerja-kerja penyukatan perimeter tanah NCR ini sangat penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan geran hak milik tanah kepada pemiliknya,” ujarnya.