Dua minggu lagi akan berakhirlah tahun 2019. Seperti biasa, menjadi tugas KPM untuk melaporkan sebahagian besar usaha yang berjaya dilaksanakan sepanjang setahun ini.

Tema untuk pencapaian tahun ini ialah “Pendidikan Untuk Semua.”

Tema ini telah merangkumkan 5 Fokus utama yang terkandung di dalamnya 53 perubahan penting yang telah berjaya dilaksanakan.

Fokus pertama ialah “Mengembalikan Cinta ke Dalam Pendidikan”. Di bawah fokus, 4 kelompok menjadi tumpuan utama iaitu OKU, B40, Murid dan Guru.

Fokus kedua ialah “Kualiti Pengajaran & Pembelajaran”. Di bawah fokus ini, 5 teras perubahan diberikan tumpuan iaitu Reformasi Sistem, Reformasi Digital, Peningkatan Pencapaian, Sekolah Daif dan TVET.

Fokus ketiga ialah “Autonomi & Akauntabiliti”. Tumpuan yang tinggi di bawah Fokus ini ialah Pengajian Tinggi dan Aktivisme Siswa.

Fokus keempat ialah “Malaysia Membaca”. Di bawah fokus ini, kewajipan kita untuk terus menyemarakkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia terus dilaksanakan secara agresif dan berterusan.

Dan fokus kelima ialah “Manifesto”. Diterangkan secara jelas dan ringkas sebahagian manifesto yang telah berjaya dicapai sepanjang tahun ini.

Walau bagaimanapun, kita akui masih banyak yang perlu kita lakukan, dan rangkuman pencapaian ini hanyalah permulaan.

Kita akan terus bekerja demi mereformasikan pendidikan tanah air demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan tertinggi KPM, semua pegawai KPM dan semua pendidik di seluruh Malaysia.

Mereka telah membanting tulang melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Dan yang paling istimewa sekali ialah mereka yang paling berhak untuk saya pulangkan kejayaan ini, iaitu rakyat Malaysia.

Merekalah yang telah memungkinkan perubahan ini dapat dilaksanakan sejak 9 Mei 2018 yang lalu.

Dari rakyat, untuk rakyat.

Terus fokus, konsisten, dan jalan terus.

Ikhlas,

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

#PencapaianKPM19