SIMANGGANG: Kontraktor utama pakej kerja pertama (WPCO4) pembinaan lebuh raya jajaran (Simpang Pantu- Skim Skrang) Naim Gamuda JV Sdn. Bhd. telah membuka lebih 1,200 peluang pekerjaan.

Pengarah Projeknya, Ir. Deric Kua Kee Sin berkata, daripada jumlah tersebut 80 peratus pekerjaan telah diisi oleh penduduk tempatan dari daerah ini.Manakala yang selebihnya mereka dari kawasan lain termasuk dari Kuching.

Pekerjaan yang diisi oleh penduduk tempatan katanya adalah termasuk pembantu pengurus projek, eksekutif kontrak, jurutera kanan, jurutera, pegawai persekitaran, eksekutif persekitaran, pegawai keselamatan, penyelia, pegawai pentadbir, anggota keselamatan, pengendali mesin dan pekerja am.

“Selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, syarikat turut mengambil inisiatif untuk menghantar kakitangan bagi program latihan dan pembangunan untuk memperbaiki kemahiran mereka.

“Kami telah menghantar mereka untuk latihan penting seperti kesedaran ISO 9001:2015, latihan kad hijau keselamatan, latihan operator, keselamatan dan kemahiran perkeranian.

“Selain itu, syarikat juga mengadakan pelbagai aktiviti pembelajaran tentang keselamatan dan kemahiran secara berkala bagi membolehkan mereka melakukan latihan industri di tapak projek dan seterusnya,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian ‘Seven Million Safe Man-Hours Without Lost Time Injury Achievement’ di Pusat Latihan Naim Gamuda di Temudok, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Deric yakin syarikat dapat menyiapkan projek WPCO4 TMS sepanjang 90 kilometer (km) ini sebelum tarikh akhir, dan turut memaklumkan setakat bulan November 2019 peratusan siap adalah 50 peratus meskipun berlaku sedikit masalah ketika ini berikutan masalah cuaca.

Sementara itu Timbalan Ketua Wilayah Pembinaan Lebuhraya Borneo Utara (LBU) Baharin Kesari dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada Naim Gamuda JV dan anak syarikat dibawahnya, kerana berjaya menjadi satu-satunya kontraktor utama yang berjaya mencapai Seven Million Safe Man-Hours Without Lost Time Injury berbanding kontraktor 10 lagi jajaran.

Beliau turut menggesa agar penduduk Sarawak khususnya di Sri Aman mengambil peluang terhadap pembangunan berimpak tinggi seperti projek Lebuhraya Pan Borneo ini bagi meningkatkan sosio-ekonomi masing-masing.

Katanya, proses pembinaan infrastruktur berskala besar ini sudah pasti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak samada pekerja mahir, kontraktor, mahupun pembekal-pembekal bahan pembinaan di seluruh negeri Sarawak.

“Ini belum termasuk impak ekonomi terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) di sepanjang jajaran projek itu kelak.

“Mengambil contoh Projek Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung, Lebuhraya Pan Borneo semestinya akan menyambungkan kampung-kampung yang dahulunya terpencil disamping meningkatkan tahap ekonomi bandar-bandar kecil di sekitarnya,” katanya.

Pada masa sama, Baharin juga menggesa agar ibu-bapa memberi galakan kepada anak-anak untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam industri pembinaan melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang turut membuka cawangannya di Sarawak.

Ini kerana menurutnya lagi, hasil testimoni kejayaan alumni ABM yang memperolehi sijil tamat latihan ABM serta sijil perakuan kemahiran CIDB secara percuma, mereka bukan sahaja dapat menceburkan diri sebagai pekerja mahir binaan di syarikat-syarikat besar malah ada di antara mereka yang berjaya menjadi usahawan berpendapatan tinggi hanya berbekalkan kemahiran yang telah dipelajari.

Program ‘Seven Million Safe Man-Hours Without Lost Time Injury Achievement’ Naim Gamuda JV ini bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan para pekerja dan sub kontraktor yang berjaya mematuhi tahap keselamatan yang ditetapkan dalam industry pembinaan yang diselia sepenuhnya oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak.