BINTULU: Kepesatan pembangunan di sini perlu mengambil kira keperluan sistem perparitan yang baik bagi memastikan tiadanya masalah banjir kilat yang sering berlaku ketika pada musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu turun padang dengan melihat sendiri masalah yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian secara bersama.

“Pembangunan yang pesat di Bintulu perlu mengambil kira sistem perparitan yang sedia ada dengan membina parit sekiranya perlu agar air dapat mengalir dengan sempurna.

“Ini membolehkan pembangunan yang dibina tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Banjir Bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.

Pada mesyuarat itu juga, Tiong meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan perunding berbincang dengan Pejabat Daerah Bintulu bagi menangani masalah sistem perparitan di Kampung Assyakirin yang menyebabkan banjir kilat.

“Parit yang ada di Kampung Assyakirin Fasa1, Fasa 2 dan Fasa 3 perlu dinaik taraf sehingga ke muara atau sehingga ke pintu air pasang,” katanya.

“Ini bagi membolehkan air parit mengalir dengan lancar dan mengelak daripada tersekat yang dapat mengakibatkan banjir kilat,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPS Bintulu mencadangkan supaya tindakan diambil bagi mengurangkan banjir pada musim tengkujuh ini.

Antara langkah yang dicadangkan ialah membersihkan dan membuang kelodak di Sungai Sibiew dan Sungai Sebab di Kampung Kemunting dan membina takungan air di kawasan berdekatan UPMKB sebelum dialirkan ke parit agar parit tidak melimpah semasa hujan lebat.