SIMANGGANG: Kes kemalangan maut di kawasan sektor pembinaan Sarawak mencatatkan penurunan pada tahun ini berbanding tahun 2018.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak, Mut Sagai berkata, penurunan berkenaan adalah disebabkan kepekaan syarikat terhadap keselamatan pekerja masing -masing semasa melakukan pekerjaan.

“Sehingga bulan Disember, sebanyak 31 kes kemalangan direkodkan. Bilangan kes kemalangan maut untuk Sarawak adalah sebanyak 31. Daripada 31 kes tersebut, enam kes adalah daripada sektor pembinaan.

“Dan saya amat bersyukur pada tahun ini untuk projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo kita telah dapat mengelakkan kemalangan dan kematian yang melibatkan angka yang tinggi.

“Pada tahun 2018, sebanyak 38 kes kematian dalam sektor pembinaan telah dilaporkan.Namun kes kemalangan itu turut mencatatkan penurunan berbanding tahun 2018 dan 2017.

Mut Sagai …. ketika berucap pada Majlis Pencapaian ‘Seven Million Safe Man-Hours Without Lost Time Injury Achievement’ di Pusat Latihan Naim Gamuda di Temudok, di sini pada Rabu

Mut berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pengumuman Pencapaian ‘Seven Million Safe Man-Hours Without Lost Time Injury Achievement’ di Pusat Latihan Naim Gamuda di Temudok, di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Pengarah Projek NAGA JV, Deric Kua Kee Sin, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Kumpulan Naim (Pembinaan, Minyak dan Gas) Sivakumar Ramasamy, Pengurus Bahagian Kualiti, Keselamatan, Kesihatan, Kejuruteraan dan Teknikal (QSHET) Kapten (B) Hareedranathanmba@ Haree dan tetamu jemputan khas yang lain.

“Secara keseluruhannya kita telah dapat menurunkan kadar kemalangan di negeri Sarawak daripada tahun 2017, di mana kemalangan yang berlaku pada tahun 2017 sebanyak 515, pada tahun 2018 sebanyak 448 dan pada tahun ini telah dapat dikurangkan kepada 368.

“Ini adalah melibatkan untuk semua sektor termasuk pengilangan perhutanan, dan kuari dan banyak lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi tahun ini sektor yang banyak menyumbang kepada kes kemalangan adalah sektor hutan dan pertanian.

Tegasnya, pada tahun depan JKKP akan memberi lebih tumpuan kepada sektor berkenaan dalam memastikan sektor tersebut turut mencatat penurunan kes kemalangan.