Monday, May 16, 2022

Jual ekuiti Petronas kepada Sarawak, Sabah: Rumitkan rundingan MA63

Secara Rawak

KUCHING: Langkah Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan  untuk menjual kepentingan Petronas kepada negeri di mana terletaknya lapangan syarikat pengeksport cecair gas asli ketiga terbesar di dunia itu hanya akan merumitkan rundingan antara Putrajaya dengan Sarawak dan Sabah berkaitan royalti minyak dan gas.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu perlu dibincangkan dengan negeri-negeri lain dan Putrajaya tidak harus menawarkan jalan penyelesaian alternatif.

“Kawasan utama penerokaan minyak oleh Petronas adalah di Sabah dan Sarawak, Dan semua ini perlu diperincikan,” katanya di sini semalam ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kepentingan dalam syarikat minyak nasional itu untuk dijual kepada Sarawak.

Perdana Menteri pada Selasa  seperti dipetik agensi berita Reuters berkata, langkah sedemikian akan memberi peluang kepada negeri seperti Sarawak dan Sabah untuk terbabit sama dalam pengurusan Petronas.

Tun Mahathir berkata, kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan royalti sebanyak empat kali ganda oleh negeri berkenaan pengeluar yang bersamaan 20 peratus keuntungan syarikat.

“Ia  dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, terpulang kepada kerajaan untuk menjual kepentingan secara persendirian tidak menerusi pasaran, kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak.

“Petronas adalah sebuah syarikat yang besar, ia bergantung kepada berapa banyak (negeri berkenaan) boleh bayar,” katanya dalam temu bual dengan Reuters.

Media melaporkan Kerajaan Terengganu sedia menimbang untuk memiliki ekuiti dalam Petronas, namun perlu melihat kadar yang munasabah atau keupayaan kewangan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik berkata kerajaan Terengganu tidak mempunyai simpanan besar sebagaimana Sabah dan Sarawak, sekali gus mempunyai had untuk pelaburan sedemikian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru