KUCHING: Peminat buku berpeluang untuk membeli buku-buku yang menarik pada harga yang sangat murah. Penganjur Pameran Buku The Hills Larry Siah berkata, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai jenis buku yang dijual sepanjang pameran itu.

“Ini merupakan tahun ke-10 saya menganjurkan pesta buku ini khusus di Kuching. “Malah, semua buku yang saya jual diperoleh dari Amerika,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Sementara itu, Larry menyediakan ratusan ribu buku pada pameran tersebut. “Meskipun saya menyediakan banyak buku untuk dijual, namun tidak semua saya pamerkan. “Malah, buku yang dipamer akan ditambah pada setiap hari hingga ke penghujung pameran,” katanya.

Larry menjelaskan, buku yang dipamer dan dijual terdiri daripada buku kanak-kanak dan buku untuk golongan dewasa.

Secara tidak langsung, usaha yang dilakukannya mampu memupuk sifat membaca dalam kalangan masyarakat kini, khususnya dalam bahasa Inggeris.

“Kebanyakan buku yang dijual semuanya dalam bahasa Inggeris. “Namun terdapat juga beberapa buku dalam bahasa Rusia dan Sepanyol. “Ini merupakan platform yang sesuai untuk masyarakat khususnya golongan muda menanam sifat minat membaca yang banyak memberi manfaat,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan berkunjung di The Hills Mall (Kuching Pullman) untuk merebut peluang mendapatkan buku pada harga serendah RM1 yang diadakan bermula 30 November lalu hingga 12 Januari 2020.

Pelbagai jenis buku menarik boleh diperoleh seperti buku tentang sukan, kesihatan, perniagaan, sejarah, buku kanak-kanak dan banyak lagi.