BAU: Sebanyak 600 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak akan diserahkan kepada para pemilik tanah bagi kawasan daerah Bau pada Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penyerahan surat tanah itu membuktikan kerajaan negeri mengiktiraf tanah hak adat bumiputera milik rakyat.

Jelasnya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan mengeluarkan geran hak milik tanah itu secara berterusan selepas kerja-kerja dokumentasi penyukatan tanah siap dilakukan.

“Kerajaan Negeri tidak menunggu masa pilihan raya untuk mengeluarkan surat hak milik tanah seperti mana didakwa sesetengah pihak.

“Semua itu tidak tepat kerana kerajaan negeri akan menyerahkan geran tanah selepas semua proses dokumentasi berkaitan selesai dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas mengadakan sidang media berhubung Majlis Penyerahan Geran Tanah dan Majlis Penyerahan Blue Print di Dataran Bazar Krokong, Bau, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua kawasan bekas lombong emas di bau akan dijadikan sebagai satu tapak warisan dan dikenali sebagai ‘Bau Museum Anchor Park’.

Jelasnya, pembangunan tapak warisan itu dijangka dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan kerajaan negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan penyelidikan projek tersebut.

“Ini merupakan antara usaha kita merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di daerah Bau,” jelasnya.