KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan dasar mesra perniagaan untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dasar ini penting untuk mentransformasikan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Meskipun keadaan ekonomi global masa kini yang tidak menentu beliau menegaskan Sarawak akan terus menarik pelaburan ke negeri ini.

Setakat ini jelas beliau, Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian (JPP) negeri telah meluluskan 43 projek pelaburan berjumlah RM17.85 billion sekaligus mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip pada majlis makan malam pertama Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) di Kuching, Rabu lepas.

Dalam pada itu Abang Johari berkata, Sarawak mengiktiraf peranan penting FMM dalam industri perkilangan di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap FMM Sarawak akan terus memainkan peranan dalam menyediakan maklum balas dan input untuk industri di Sarawak disamping bersama-sama mencari kepentingan dalam pembangunan negara dan industri.