MUKAH: Sungai Tellian di Kampung Tellian di sini, lima kilometer dari pusat bandar Mukah merupakan satu lagi destinasi menarik untuk dikunjungi kaki pancing, terutama penggemar udang galah.

Warna airnya yang agak hitam kemerah-merahan, tetapi bersih menjadikan ia sebagai lokasi tarikan udang untuk membiak.

Menurut salah seorang pemancing di sini, Got Lai, sekarang ini adalah musim udang galah. “Air di sungai ini yang bersih dan keruh menjadi tempat tumpuan udang dan ikan.

“Oleh itu, di sini merupakan antara lokasi menarik untuk kaki pancing,” jelasnya kepada Suara Sarawak.

Malah menurut Got, rasa udang galah di sini cukup enak, berbanding udang di tempat lain. Katanya, ia disebabkan sungai di sini bebas daripada pencemaran.

Kebiasaannya udang galah dijual pada harga RM70 hingga RM100 sekilogram di pasar basah mengikut saiz. Namun, harganya agak murah sedikit jika dibeli terus daripada pemancing.

“Jika diusahakan dengan betul, Sungai Tellian boleh membantu penduduk di sini menambahkan pendapatan… bukan sahaja melalui hasil jualan udang, tetapi juga dari segi penyewaan perahu atau bot untuk kaki pancing,” jelas Got.

Di Bahagian Mukah, Daerah Balingian merupakan destinasi paling popular bagi kebanyakan penggemar udang. Selain itu, udang juga terdapat di Sungai Mukah, Igan, Dalat dan Oya.