KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin PKR memberi amaran tegas kepada anggota parti yang melanggar disiplin terutamanya yang membabitkan ancaman fizikal.

Menurut Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim, Lembaga Disiplin akan menentukan tindakan yang akan diambil kepada anggota-anggota yang terbukti melanggar disiplin parti dengan merujuk siasatan pihak polis dan saranan pucuk pimpinan.

“Lembaga Disiplin ingin memaklumkan bahawa kami akan mengambil tindakan yang paling tegas terhadap mana-mana anggota yang melanggar garis sempadan disiplin parti terutama kepada mereka yang melakukan ancaman fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

“Lembaga Disiplin akan menggunakan siasatan polis sebagai salah satu rujukan yang utama serta saranan pucuk pimpinan parti yang menyatakan tindakan tegas kepada sebarang bentuk keganasan yang berlaku terutamanya semasa kongres AMK berlangsung,” katanya.

Dalam Kongres Nasional PKR di MITC, Ayer Keroh, Melaka dari 6 hingga 8 Disember lalu, pergaduhan dan kekecohan berlaku di luar dewan sewaktu kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung.

Ahmad meminta anggota yang mempunyai maklumat serta bukti berkaitan agar membuat aduan rasmi untuk disiasat sebelum menimbang syor tindakan kepada mereka.

“Lembaga Disiplin juga meminta semua anggota yang mempunyai maklumat serta bukti-bukti mengenai salah laku disiplin parti untuk segera membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin bagi pihak kami mulakan siasatan serta menimbang syor-syor tindakan atau hukuman yang wajar dikenakan kepada anggota-anggota yang terbukti melanggar disiplin parti,” katanya.