MELAKA: Permuafakatan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam merungkai kemelut menjadi contoh tauladan kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK) menangani konflik dalaman parti pada masa depan.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata permuafakatan antara kedua-dua pemimpin tertinggi parti membuktikan semua ahli PKR sentiasa bertungkus lumus menyelesaikan masalah dan mampu mendepani pelbagai cabaran demi kepentingan bersama.

“Dalam tempoh kurang dari 24 jam Presiden dan Timbalan Presiden dapat duduk bersama-sama berbincang, merungkai dan mencari jalan untuk bekerjasama dalam usaha menguatkan parti yang dalam tempoh beberapa bulan mungkin berbeza pandangan.

“Namun dalam kongres ini kita bersatu hati dengan meletakkan semua perbezaan di tepi bagi memastikan parti ini diangkat bersama-sama,” katanya dalam ucapan aluan yang disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 2,000 perwakilan dan penyokong yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam tadi seperti dipetik Bernama.

Perasmian serentak itu disempurnakan oleh Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.