Tuesday, January 25, 2022

Penjawat awam nadi pembangunan Sarawak

Secara Rawak

Rabu lepas, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan kewangan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di bumi kenyalang. Usaha murni ini dilakukan bagi menghargai sumbangan dan jasa para penjawat awam kerajaan persekutuan yang turut menyumbang dalam pentadbiran serta pembangunan di bumi kenyalang. Inisiatif kerajaan Sarawak yang ditadbir oleh gabungan parti tempatan iaitu GPS ini merupakan satu usaha yang tepat dalam menyantuni rakyat yang turut menyumbang khidmat serta bakti kepada negeri Sarawak.

Komitmen GPS ini harus dicontohi oleh negeri-negeri lain yang sudah pasti mempunyai penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat di negeri masing-masing. Tindakan kepada para pekerja. Secara tidak langsung ia dapat memberi motivasi kepada para pekerja dalam sesebuah organisasi.

Pengumuman berita baik itu telah dilakukan oleh Ketua Menteri sempena Sambutan Majlis Hari Perkhidmatan Awam 2019 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK). Bantuan berkenaan disambut baik sekitar 95,000 penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di bumi kenyalang yang menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan Abang Johari terhadap kebajikan mereka. Walaubagaimanapun, Ketua Menteri menegaskan bahawa pembayaran bantuan kewangan khas itu akan dilakukan pada Jun 2020.

Ini merupakan salah satu detik bersejarah bagi penjawat awam persekutuan di negeri Sarawak apabila turut diberikan bonus oleh kerajaan negeri yang prihatin. Kini, komitmen daripada penjawat awam persekutuan amat dituntut oleh kerajaan negeri bagi merealisasikan impian bumi kenyalang untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 nanti. Kerjasama semua penjawat awam persekutuan amat dituntut bagi memastikan segala dasar serta perancangan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Penjawat awam merupakan salah satu organ penting dalam sistem negara kita yang menjalankan peranan eksekutif. Para penjawat awam ini merupakan agen pelaksana kepada dasar-dasar serta perancangan kerajaan dalam mentadbir sebuah negara. Pelaksanaan segala dasar-dasar serta perancangan kerajaan amat bergantung kepada para penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab sama ada objektif dasar-dasar atau perancangan tersebut dapat dicapai atau tidak.

Ironinya, para penjawat awam ini merupakan nadi kepada kerajaan dalam menyantuni rakyat. Apa yang penting para penjawat awam atau kaki tangan kerajaan perlu mendalami serta menjiwai setiap dasar dan perancangan yang diketengahkan oleh kerajaan. Seseorang penjawat awam harus bebas daripada pengaruh politik dan mesti berkhidmat kepada kerajaan yang sedia ada. Ini penting bagi merealisasikan segala dasar serta perancangan yang digubal atau ingin dilaksanakan oleh kerajaan dapat mencapai objektif.

Kaedah penyampaian penjawat awam juga harus berlandaskan elemen tadbir urus yang baik bagi memastikan tidak berlaku ketirisan serta penyalahgunaan kuasa yang boleh memberi imej buruk kepada kerajaan. Segala dasar-dasar serta perancangan kerajaan harus dipastikan oleh penjawat awam sampai kepada golongan sasaran atau pun rakyat. Ini penting kerana ia akan mencerminkan prestasi kerajaan yang memerintah sekiranya setiap dasar atau perancangan kerajaan tidak sampai kepada rakyat disebabkan tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam.

Apa pun, tindakan kerajaan yang memberikan bonus kepada penjawat awam ini seperti yang dilakukan kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri Sarawak yang turut menyantuni penjawat awam persekutuan di bumi kenyalang merupakan satu usaha murni yang harus terus dilakukan pada masa hadapan. Ini merupakan salah satu cara penghargaan yang boleh menjurus meringankan beban para penjawat awam serta dapat memberi motivasi agar terus lebih produktif dalam melaksanakan tanggungjawab. Persoalannya, adakah negeri-negeri lain akan turut mengikut inisiatif murni kerajaan Sarawak ini dalam memberikan bonus kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri mereka?

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru