KUCHING: Lulusan politeknik mempunyai kemahiran yang menyeluruh dan menepati kehendak industri masa kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Kuching, Datuk Dr Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah.

Menurut beliau, ini kerana sepanjang pengajian, pelajar terbabit didedahkan kepada tuntutan alam pekerjaan yang sebenar.

Beliau berkata, lulusan politeknik merupakan peneraju latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET)  ke arah Revolusi Industri 4.0 di negara ini.

“Saya yakin lulusan politeknik mempunyai peluang besar dalam industri kerana mereka didedahkan kepada pelbagai aspek pembelajaran sepanjang pengajian,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Serba Dinamik Holdings Berhad itu.

“Mereka merupakan calon sesuai untuk industri,” jelasnya.

Katanya, mereka bukan sekadar lulusan yang mempunyai diploma, tetapi memiliki pelbagai kemahiran dan ilmu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sebuah bas untuk kegunaan logistik Politeknik Kuching di sini, semalam.

Sumbangan bas berkenaan adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu. 

Mohd Abdul Karim menyerahkan kunci bas berkenaan kepada pengarah politeknik berkenaan, Jamaliah Ahmad.