BINTULU: Kerajaan Sarawak  sentiasa mengutamakan budaya integriti dengan menerapkan budaya itu dalam agensi kerajaan dan rakyat di negeri ini  sebagai satu daripada langkah untuk mencapai kemajuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata budaya mengamalkan integriti dalam kalangan penjawat awam penting bagi memastikan masa depan dan pembangunan negeri terus berjalan lancar.

Justeru, katanya,  kerajaan akan terus memantau setiap agensi dan memastikan agar pegawai yang bertauliah diberi tanggungjawab berkaitan dengan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Itulah sebabnya, ujar beliau,  Kementerian Integriti dan Ombudsman ditubuhkan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan  perasmian Forum Kelestarian Integriti dan penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 23 Bil 3 Tahun 2019 di Hotel Parkcity Everly di sini, semalam.

“Ini bagi memastikan tadbir urus dan pembangunan negeri terus maju pada masa depan,” ujarnya.

Katanya, budaya korup bukan sahaja berkait dengan duit sebaliknya cara berfikir yang menuntut keadilan terhadap  masyarakat berbilang agama dan kaum di negeri ini.

“Budaya kerja dan minda bersih akan membolehkan setiap penjawat awam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kejujuran dan ikhlas,” tegas Ketua Menteri.

Jelas beliau, dengan adanya budaya integriti  akan memberikan kesan baik kepada kakitangan awam  kerana mereka dapat memberi perkhidmatan yang berkesan  kepada masyarakat.