KUCHING: PAS di Sarawak menyambut baik saranan tersebut supaya tiada mana-mana pihak mengeksploitasi keputusan rakyat seperti merosakkan pentadbiran kerajaan demi menjadi Perdana Menteri. 

Ini berkaitan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, urusan  Negeri Sarawak biar diserahkan kepada orang Sarawak untuk mengurusnya merupakan signal awal bahawa PAS sangat menghormati keputusan rakyat diutarakan dalam satu forum di Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin, menjadi kerajaan atau merampasnya dari pintu belakang juga bukan cara PAS. 

“Islam melarang pencabulan hak berbanding  ideologi nafsu manusia yang melakukan sesuatu tanpa dipandu oleh hukum dan undang- undang. Kita juga turut kasihan melihat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Sarawak yang tidak berupaya membawa hak Sarawak dan sering kalah dengan ‘Tuan’ mereka dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan..

Katanya, PAS Sarawak mempunyai rekod penyokong tegar dan kuat di Dun Beting Maro. 

“Keputusan  undi meningkat serta tidak hilang deposit merupakan kehendak dan pilihan rakyat di situ untuk memilih PAS. Secara zahirnya, biarpun kini PAS Sarawak ‘mesra’ bersama Kerajaan Negeri dan hubungan baik antara ahli Parlimen masing-masing, PAS Sarawak tidak melihat suara kebangkitan rakyat Beting Maro khususnya diabaikan. Sudah pasti jika PAS mendapat kerusi tersebut, akan menjadi penyeimbang kepada penggubal polisi di peringkat negeri,” ujar beliau.

Beliau berkata, PAS sangat menitik berat soal perpaduan yang mana menjadi asas kepada kestabilan negeri ini. 

“Perpaduan antara kaum dan agama ini juga tuntutan Islam sepertimana Islam merupakan agama pendamai. Soal PAS hanya sesuai di Kelantan tidak timbul. Malah kerana relevannya PAS sebagai parti politik nasional telah berjaya menempatkan dirinya di seluruh negeri berbanding parti-parti lain yang hanya bertumpu di negeri  atau kaum sendiri sahaja. Tidak timbul juga ketakutan rakyat Sarawak kepada PAS,’ katanya lagi.

“Mengukur kejayaan hanya berdasarkan wang ringgit juga satu kesilapan. Hong Kong yang berbangga mereka bangsa maju kini sudah mula hancur kerana ideologi mereka. Sarawak memerlukan kepimpinan yang berteraskan nilai kemanusiaan dan pentadbiran yang sejagat, tidak menindas, tidak asyik menimbulkan sangsi seperti PH serta bersederhana seperti Kelantan dan Terengganu.,” jelasnya.

“Usaha gigih PAS tidak akan terhenti hanya pada musim pilihan raya. Kita turut memberi bantuan, sokongan kepada mana-mana pihak demi mencapai maksud kemakmuran dan perpaduan. Sokongan dan komitmen ini jelas seperti memberi laluan kepada calon Cina di Tg. Piai, memberi sokongan kepada Kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri serta kuat bersuara di Parlimen sesuai dengan peranannya,” katanya.