MELAKA: PKR akan terus mempertahankan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada serangan politik keji dan jijik.

Itu jaminan dan penegasan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sebalik pergeseran yang dilihat berlaku antara beliau dengan Anwar.

Dalam beberapa minggu ini, hubungan Azmin dengan Anwar dilihat semakin meruncing susulan perkembangan dalam parti.

Malam tadi, Azmin Ali  menyatakan pendiriannya untuk mempertahankan presiden parti itu yang dikaitkan dengan dakwaan mencabul dan berkelakuan tidak senonoh.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi parti telah mendengar penjelasan Anwar, berhubung dakwaan Muhammed Yusoff Rawther mengenai kejadian serangan seksual, dan akan terus menolak budaya politik kotor.

Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu, mendakwa  bahawa dia menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan, selain membuat laporan polis menerusi setiausaha sulitnya, Shukri Saad.

Bercakap kepada media di Melaka malam tadi, Azmin berkata, sejak dari awal lagi pihaknya menolak amalan politik keji.

Justeru ahli parlimen Gombak itu menyambut baik langkah Anwar membuat laporan polis  terhadap dakwaan itu agar siasatan lengkap dapat dijalankan.