KUALA LUMPUR: Apabila Umno menjadi pembangkang secara drastik Kerajaan PH telah memadamkan bukan hanya sejarah tetapi sumbangan Umno dan dasar-dasar yang dilakukan Umno dalam pembangunan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Maka usaha kita perlu lakukan untuk pastikan 18 bulan ini berakhir dengan segera tanpa tunggu 18 tahun. Dalam era 18 bulan ini kita tak ada pengalaman sebagai pembangkang sebagaimana kita tak ada pengalaman memperjuangkan kemerdekaan tapi kita yakin akan beroleh kejayaan, katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Penulisan Ensiklopedia Umno yang berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019, semalam.

Katanya, apa yang penting adalah bagaimana  hendak menghidupkan Umno pada era yang baru.

“Perubahan yang luar biasa apabila kita menghadapi suasana yang luar biasa, jadi jangan biarkan saya seorang. Saya mahu perasaan untuk membangkit dan menghidupkan semula Umno. Cukuplah pada era ketiga ini kita menjadi pembangkang,” ujar Ahmad Zahid.

“Sesama kita janganlah menjadi seperti seladang yang bertanduk panjang tapi saling menanduk sesama sendiri sedangkan apabila harimau menyerang tak mampu mempertahankan diri atau jadi seperti ketam yang saling memijak untuk naik ke atas dan akhirnya semua mati begitu saja,” katanya.

“Dalam era kepembangkangan ini hanya sekejap, insya-Allah dalam PRU-15 kita akan berada semula di Putrajaya,” katanya yakin.

PH kini berdepan dengan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat kerana prestasinya yang lemah dan banyak janji yang gagal ditunaikan.