KUALA LUMPUR: Menumbangkan Pakatan Harapan itu tidaklah mudah, tetapi ia boleh dilakukan, dengan strategi mantap dan pendekatan yang betul, malah, BN dan Umno sudah menumbangkan mereka sedikit demi sedikit.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, cabaran sebenar UMNO, yang lebih benar, lebih besar dan maha hebat adalah, dalam mendepani sifat politik itu sendiri terutamanya pada zaman globalisasi yang kian tidak menentu ini.

“Dunia dan fenomena politik hari ini, sudah tidak boleh dijangka. Malaysia dan dunia sudah tidak seperti dahulu,” katanya dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2019, di PWTC, di sini, semalam.

“Politik abad ke-21 ini begitu rumit, tidak menentu dan pelbagai. Ia dipengaruhi oleh pemboleh ubah-pemboleh ubah kompleks, yang mampu mengubah tahanan kehidupan, malah norma kewujudan manusiawi itu sendiri,” katanya.

“Kita tidak mungkin tahu, cabaran politik yang bagaimana bakal muncul, dalam tahun malah bulan yang mendatang ini,” ujarnya.

Lantaran itu, tegas beliau, UMNO wajib disediakan, untuk mencatur dirinya dalam konteks politik abad ke-21. 

Mohamad berkata, globalisasi serta kejadian-kejadian maha dahsyat, daripada pelbagai aktor antarabangsa telah menyumbang kepada perubahan cara kerja, cara fikir dan cara kita menjalani rutin kehidupan.

Oleh itu,  ujarnya, politik sendiri akan menjadi semakin dinamik dan mencabar. 

“Lihat sahajalah di seluruh dunia. Segala macam doktrin dan model politik telah dicabar, diuji malah diketepikan sebagai tidak relevan, kolot dan terkebelakang. Apa yang dahulunya benar dan betul. Sekarang ditolak dan ditentang,” katanya lagi.

Katanya, sebagai sebuah parti politik, UMNO tidak mempunyai pilihan kecuali melakukan penyusunan semula yang serius dan radikal.

“Penyelarasan semula ini, harus memastikan amalan politik kita, bukan sahaja boleh menangani  kebimbangan sah rakyat,” katanya.