KUCHING: Terdapat pemimpin berjawatan besar dalam PKR gemar menimbulkan kekacauan dalam parti, kata Farhash Wafa Salvador.

Setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, semua ahli akar umbi menyedari hakikat bahawa mereka memberi sokongan penuh kepada bakal perdana menteri itu.

Pengerusi PKR Perak itu menjelaskan, terdapat beberapa pemimpin berjawatan tinggi dalam parti itu yang suka mencetuskan kacau-bilau.

“Pemimpin seperti itu ialah contoh manusia hina yang tidak kenal erti budi pekerti,” katanya sambil menambah, sidang media yang dilakukan oleh Muhammad Yusuff Rawther didorongi oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard.

Katanya, ia dilakukan semata-mata untuk mencemarkan imej parti oleh seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan.

Sebelum ini, keahlian seumur hidup Chegubard ditarik semula pada tiga tahun lepas kerana menjejaskan imej parti dan memecahbelahkan ahli parti.

Kontroversi tercetus apabila wujud tuduhan terbaharu kepada Presiden PKR itu yang didakwa
mencabul kehormatan cucu lelaki bekas aktivis Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris.

Dakwaan itu menyebut berlakunya
serangan berbentuk fizikal dan seksual.

Bagaimanapun, dalam satu akuan bersumpah bertarikh 19 November 2019 Muhammed Yusoff Rawther mendakwa diarahkan setiausaha Anwar, Sukri Saad untuk berjumpa Anwar di kediamannya di Bukit Segambut sebelum diperlakukan dengan cara tidak senonoh.

Yusoff mendakwa dipelawa Anwar secara peribadi untuk bekerja dengannya ketika Anwar menziarahi datuknya Mohamed Idris di Pulau Pinang pada 2 September 2018.

Manakala pada 19 September 2019, Yusoff memfailkan saman terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa atas dakwaan menumbuknya berulang kali tanpa sebab di pejabat Anwar Bukit Gasing.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu pernah berdepan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 kerana didakwa meliwat pemandu dan penulis ucapannya.

Manakala,timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah dituduh terbabit dalam video lucah dengan seorang pemimpin akar umbi yang berasal dari Sarawak.