KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya  menarik balik kemudahan yang diberikan kepada pelancong  China untuk memasuki Malaysia untuk sementara waktu.

Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim berkata, proses kemasukan  pelancong dari China dan India perlu diperketat atau hentikan buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mencari kembali ke mana perginya pelancong yang hilang selama ini.

Ini katanya termasuklah Program Pengecualian Visa melalui kemudahan eNTRI (Electronic Travel Registration and Information), kemudahan permohonan visa atas talian (eVisa), kemudahan mendapatkan visa di pintu masuk (Visa On Arrival – VOA) dan permohonan Visa dengan Kemasukan Berulang Kali.

Media memetik Ketua Audit Negara 2018 baru-baru ini yang  mendedahkan bahawa 76, 258 orang pelancong asing dari China dan 41, 243 daripada India tidak keluar dari Malaysia.

“Angka ini sangat membimbangkan lebih-lebih lagi reputasi warganegara China yang terlibat dalam jenayah yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, penglibatan warganegara China dalam sindiket penjualan kad pengenalan di Pulau Pinang dan terbaharu, tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan internet menunjukkan kemudahan visa yang diberikan kerajaan selama ini telah disalah guna.

“Hal ini tidak menghairankan kerana pendaftaran bagi eNTRI hanya dilakukan secara atas talian dan tiada kelulusan diperlukan. Bahkan, pelancong China yang menggunakan kemudahan eNTRI boleh masuk ke Malaysia melalui 15 pintu masuk seluruh negara melibatkan sembilan pintu masuk udara dan enam pintu masuk darat,” ujarnya.

“Pendedahan audit bahawa pengurusan Jabatan Imigresen dan kawalan dalam di pintu masuk tidak mengemas kini data kemasukan pelancong secara manual dan offline adalah satu dakwaan yang berat,” tegasnya.