KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan usaha kakitangan Kerajaan Sarawak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan penuh integriti.

Menurutnya, salah satu usaha Kerajaan Sarawak memerangi gejala rasuah dalam kalangan kakitangannya, pegawai integriti yang bertauliah ditempakan di kementerian dan jabatan.

“Rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan suatu penyakit sosial yang akan merosakkan masyarakat, negeri dan negara kita.

“Bagaimanapun, kehadiran pegawai-pegawai integriti itu sahaja tidak menjamin kita akan berjaya mensifarkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di BCCK semalam.

Tegas Johari, seluruh keahlian sistem penyampaian hendak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada terlibat dalam segala gejala yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini.