CYBERJAYA:  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua Pemimpin Ekonomi sempena penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 untuk membincangkan isu-isu yang membabitkan ketahanan APEC, perdagangan dan pelaburan serta kesejahteraan ekonomi sepanjang persidangan ini berlangsung tahun hadapan.

“Pasca Wawasan 2020 bagi APEC, yang akan dilancarkan tahun depan, akan mencarta hala tuju masa depan APEC bagi memastikan ia terus relevan di bawah pendekatan lebih inklusif.

“Ia akan dibangunkan bersandarkan Matlamat Bogor dan melengkapkan usaha APEC selama 30 tahun lepas seterusnya memulihkan statusnya sebagai forum ekonomi utama bagi tahun-tahun mendatang,” katanya ketika melancarkan APEC 2020, di sini, semalam.

Bertemakan ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’, Dr Mahathir menggesa ekonomi anggota untuk menerapkan falsafah ‘Perkongsian Kemakmuran’ dalam perancangan ekonomi mereka.

“Sudah tiba masanya ekonomi anggota menimbang untuk menerima pakai falsafah tersebut dan menerapkannya ke dalam model ekonomi semasa.

“Menambah baik kesejahteraan seluruh rakyat kita serta membolehkan setiap mereka mempunyai standard hidup yang baik akan menjadikan APEC terus mampan dan relevan sebagai satu perkumpulan dalam tempoh jangka panjang,” katanya lagi.

APEC yang terdiri daripada 21 ekonomi merupakan forum ekonomi serantau yang diwujudkan untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi serantau akan memulakan persidangannya dengan Pertemuan Tidak Rasmi Pegawai Kanan (ISOM) yang dijadualkan berlangsung pada 9-12 Disember ini di Pulau Langkawi, Kedah.