KUALA LUMPUR: Penyanyi  terkemuka era 80-an Datuk Nassier Wahab meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya kerana penyakit kanser.

Berita tersebut dikongsi rakan karib Allahyarham, Zur Eda yang juga teman seangkatannya dalam industri hiburan tanah air menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp.

“Innalillahi-wainnaillah-hirojiun… Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC.

“Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Nassier, anak ke-12 daripada 14 orang adik-beradik, lahir di Kuala Muda, Kedah pada 18 April 1962.

Antara lagu terkenalnya ialah Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Duka dan Sebuah Janji Tak Bererti.