KUCHING: Dewan Pemuda Pas Sarawak menyambut baik pengumuman oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan memberi insentif sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Sarawak, Hamdan Saini berkata, meskipun dibayar pada Jun tahun depan, namun, insentif berkenaan memberi manfaat kepada 94,971 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

“Saya merasakan insentif ini pasti disambut baik oleh semua penjawat awam Persekutuan di Sarawak.

“Malah, insentif sedemikian adalah pertama dibuat di Malaysia,” katanya hari ini.

Justeru, Hamdan memberitahu, insentif berkenaan adalah sebagai satu penghargaan Kerajaan Sarawak kepada penjawat awam Persekutuan yang bersama terlibat dalam tadbir urus dalam memangkin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Maka, kita lihat Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan GPS telah berjaya membuktikan semangat federalisme yang tinggi walaupun negeri ini berada dalam blok pembangkang di peringkat Persekutuan.

“Kematangan berpolitik dalam pentadbiran telah berjaya mengangkat Sarawak sebagai salah sebuah negeri yang patut dicontohi oleh semua negeri lain di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya lagi, meskipun Sarawak dinafikan beberapa hak dan birokrasi oleh kerajaan PH dalam soal pembangunan, pendidikan dan kelestarian ekonomi, ia tidak menghalang Sarawak terus membantu dan menghargai khidmat bakti penjawat awam Persekutuan di negeri ini.

“Sebaliknya, kerajaan PH masih dalam spektrum politik balas dendam.

“Oleh itu, kita komited membantu Kerajaan Sarawak dalam memastikan polisi dan dasar yang baik tercapai agar hasrat melihat kemakmuran dan keharmonian rakyat Sarawak direalisasikan,” ujarnya.