KUALA LUMPUR: Umno mesti menjadi sebuah entiti politik yang sentiasa belajar dan berasaskan idea, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

“Kita harus tangkas, bingkas dan lekas belajar perkara baharu, memahaminya dan mempraktikkannya,” katanya.

“Mereka yang buta huruf pada abad ke-21 ini, bukanlah mereka yang tidak tahu membaca atau menulis, tetapi adalah mereka yang tidak mahu belajar dan belajar semula,” katanya dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2019, di PWTC, di sini, semalam.

“Oleh yang demikian, kita mesti menjadi parti yang terus belajar, meneroka, berinovasi kreatif dan mencabar kelaziman. Cinta akan ilmu dan pengetahuan baharu,” katanya lagi.

“Jika kita gagal belajar, liat untuk menerima ilmu baharu dan menolak pemikiran bernas, yang sesuai dengan kita, maka percayalah. Percayalah, yang Umno pada suatu hari nanti akan menjadi sebuah institusi politik yang purba serta disia-siakan, dilupakan, dan ditinggalkan anak bangsa sendiri,’ ujarnya.

Beliau berkata, ahli Umno mesti mempunyai  daya tahan dalam perjuangan dan tidak boleh menyerah dan tidak pernah putus asa serta boleh tunduk kepada apa jua tekanan sama ada dalaman ataupun luaran.

“Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada menukar haluan,” tegasnya.

Menurut Mohamad, Umno mesti membangunkan budaya daya tahan ini, dalam setiap jiwa raga pendukungnya, apatah lagi, apabila ia  sudah tewas dan tidak lagi mempunyai kuasa.

“Satu-satunya mekanisme yang ada, untuk bangun dari ketewasan ini ialah, melalui kekentalan hati dan sanubari kita, dalam memperjuangkan kepentingan bangsa serta tanah air,” tegasnya.