LABUAN: Bangunan baharu Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Labuan bakal menjadi hub penyebaran maklumat yang sahih kepada rakyat.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKMM Shakib Ahmad Shakir, penyampaian maklumat kepada rakyat melalui agen komunikasi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) amatlah penting dalam menyebarkan dasar-dasar kerajaan serta menangani pelbagai isu yang timbul.

“Pembinaan Bangunan Kompleks Penyiaran ini adalah merangkumi perancangan masa hadapan bagi memenuhi keperluan penyebaran maklumat berkualiti dan sahih dalam pelbagai medium untuk rakyat.

“Diharap dengan adanya Kompleks baharu ini RTM, JaPen, dan BERNAMA akan dapat menikmati kemudahan ruang pejabat yang baharu selain suasana kerja lebih dinamik sekaligus meningkatkan produktiviti serta mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada komuniti di negeri ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bangunan itu baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Datuk Ir. Muhammad Azman Jamrus, berkata JKR telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini pada tahun 2016 dengan siling peruntukan sebanyak RM10.5 Juta.

“Rekabentuk bangunan ini adalah secara konvensional dalaman iaitu dengan menggunakan kepakaran Arkitek dan Jurutera JKR sendiri tanpa melantik sebarang khidmat juru perunding.

“Pembangunan Kompleks KKMM yang berkeluasan 4,789 meter persegi ini dilengkapi dengan beberapa komponen utama iaitu bangunan pejabat dua tingkat yang menempatkan Jabatan Penerangan Malaysia pada aras satu dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) serta pejabat BERNAMA pada aras dua.

“Konsep rekabentuk bangunan adalah berteraskan kepada nilai identiti setempat, mesra rakyat, penjimatan tenaga elektrik dan menerapkan sistem susun atur pejabat secara terbuka yang memberikan pencahayaan semulajadi yang maksima,” katanya.

Tambah Azman, berkat daya usaha semua pihak yang terlibat, projek ini dapat disiapkan dengan jayanya secara tiga dalam satu iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 18 November 2019, Penyiapan Perakuan Muktamad (SOFA) & Penyiapan As-Built Drawing serta Operation & Maintenance Manual.

“Saya berharap agar kompleks ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pihak pengguna dalam menyampaikan maklumat dasar-dasar negara serta meningkatkan kefahaman dan sokongan rakyat kepada kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya lagi.