KUCHING: Bagi menghargai sumbangan dan jasa para penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan kewangan khas sebanyak RM500 kepada golongan tersebut semalam.

Pengumuman berita baik itu dilakukan Ketua Menteri sempena Sambutan Majlis Hari Perkhidmatan Awam 2019 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Bantuan berkenaan disambut baik sekitar 95,000 penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini yang menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan Abang Johari terhadap kebajikan mereka. 

Bagaimanapun kata Ketua Menteri, pembayaran bantuan kewangan khas itu akan dilakukan pada Jun 2020. 

Pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 diberikan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah dan Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada pesara kerajaan.

Manakala, semasa ucapan penggulungan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 pada 13 November lepas, Ketua Menteri mengumumkan bantuan kewangan khas bersamaan dua bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada kira-kira 16,000 penjawat awam di negeri ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.