KUCHING: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memberi bantuan kewangan RM500 kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

Sebanyak  kira-kira 95,000 penjawat awam persekutuan berkhidmat di negeri ini dalam pelbagai bidang pekerjaan antaranya pegawai keselamatan, polis, guru dan sebagainya dijangka mendapat manfaat daripada bantuan khas itu.

Ini kata Pengerusinya Ahmad Malie   membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dan menghargai sumbangan  dan pengorbanan penjawat awam terbabit dalam pembangunan di negeri ini.

Katanya, bantuan kewangan daripada Kerajaan  Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam itu seharusnya mampu menyemarakkan semangat untuk penjawat awam persekutuan di negeri ini untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi kebaikan bersama terutamanya di peringkat akar umbi.

“Sebagai menghargai sumbangan penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini, ahli kabinet saya  bersetuju memberi tambahan bantuan kewangan RM500 kepada bantuan RM500 daripada kerajaan persekutuan untuk semua penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak,” kata Ketua Menteri.

Beliau mengumumkannya semasa perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.

Kata Ahmad, pengumuman  semasa perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Negeri Sarawak  itu pasti amat dihargai semua penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap penjawat awam persekutuan dapat merancang penggunaan wang tersebut dengan  sebaik mungkin, terutama bagi persediaan Hari Gawai dan Hari Raya pada tahun depan.

Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri akan membayar bantuan khas itu pada Jun tahun depan.