KUCHING: Perhimpunan Hari Perkhidmatan Awam pada tahun ini dengan tema ‘Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang Melalui Integriti dan Profesionalisme’ amat sesuai dengan matlamat memperkukuh inisiatif untuk menerapkan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun perkara itu bukan sesuatu yang baharu, namun ia harus terus diperjuangkan, dipupuk dan diperkukuh supaya penyampaian perkhidmatan awam mampu mencapai taraf dunia dari segi tadbir urus.

Jelasnya, rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan suatu penyakit sosial yang akan merosakkan masyarakat, negeri dan negara amnya.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan usaha untuk mempastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan dengan penuh integriti dengan program seperti penempatan pegawai integriti yang bertauliah di kementerian dan jabatan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Hari Perkhidmatan Awam 2019 Bertemakan Excellent Sevice Delivery Integrity And Profesionalism Di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), semalam.

Ketua Menteri menambah, kehadiran pegawai-pegawai integriti mampu memperkasa integriti sekali gus mengikiskan unsur-unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tegasnya, seluruh penjawat awam hendaklah menghindarkan diri daripada terlibat dalam segala gejala yang dapat mendatangkan kemudaratan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam. 

Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak  dan Anugerah Pegawai Contoh.

Turut dilancarkan Manual Pengurusan Tatatertib Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Learning Management System Leadership Institute Of Sarawak Civil Service, Scs-Mobile App, E-Lasis dan Ela 2.