Presiden PKR Anwar Ibrahim  sudah lama bersabar. Beliau telah dipukul, dibelasah, ditelanjang dan disumbat di dalam penjara.  Beliau juga pernah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Beliau hanya satu langkah lagi hendak menjadi Perdana Menteri, tetapi Tun Mahathir memecat beliau.

Kali ini, timbalan beliau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu cuba menghalang beliau menjadi Perdana Menteri.

Bayangkan Azmin mahu Tun Mahathir terus menjadi Perdana Menteri. Apa agenda Azmin? Mahu dirinya terus selamat atau apa? Apa akan jadi dengan Azmin apabila Anwar sudah jadi Perdana Menteri? Masih adakah masa depan politiknya?

Sesungguhnya Presiden PKR itu telah banyak diuji, dan kalaulah orang lain diuji sedemikian, mungkin telah lemah longlai. Tetapi bukan pemimpin bernama Anwar.

Semalam Anwar yang dijanjikan bakal menjadi pengganti Tun Mahathir memberi amaran kepada pengkritiknya dalam parti itu. 

Amaran itu memang wajar. Terdapat puak dalam parti yang cuba memporak-perandakan parti, malah memecahkan parti.

 Ya,  kata Anwar, jangan menguji kesabarannya sehingga beliau perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memecahbelahkan parti itu.

Pada konvensyen PKR Perak semalam, Anwar berkata beliau bersabar selama ini kerana berasakan ahli-ahli parti mempunyai hak untuk memberi pandangan mereka.

“Bezanya kita parti keadilan demokrasi, ia bukan parti orang nak cakap sikit pancung, saya tak mahu.

“Jadi orang kata Anwar ni lemah, (Ketua Penerangan PKR) Shamsul Iskandar kata sabar Anwar ni tahap dewa,” katanya.

Memang, siapa yang boleh sabar seperti Anwar walau diasak dan cuba diperlekeh oleh Azmin, orang yang sepatutnya menyokong beliau.

“Tetapi kesabaran itu sampai beri pandangan bahawa parti ini pecah, parti ni lemah, saya tak boleh, “ ujar Ahli Parlimen itu seperti dipetik media.

Anwar mengakui dia orang yang mudah memaafkan. 

“Dan saya amat mudah memaafkan, telanjang pun maaf, masuk penjara pun maaf, tapi cukup, sekarang ni kita kena bawa mesej yang baru.

Persoalannya, adakah beliau semudah itu untuk memaafkan Anwar, Baru Bian dan lain-lain yang menentang beliau?

Bekas ahli PKR, Datuk Zaid Ibrahim hari ini  mahu ahli PKR cuba mempertahankan Anwar menjelang Kongres PKR di Melaka minggu ini.

Ada ura-ura bahawa akan ada Kongres berasingan dan  akan ada usul tidak percaya terhadap Anwar.

“Mereka yang peduli tentang kualiti kepemimpinan  negara tidak boleh diam lagi,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

PKR yang ditubuhkan 20 tahun lalu selepas Anwar dipecat, kini berdepan krisis paling teruk.

Ya, Anwar perlu dibela oleh ahli dan pemimpin dalam PKR yang masih punya maruah dan integriti dalam politik. 

Mereka tidak harus berkonspirasi atau berkomplot untuk menyekat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan. 

Bukankah kemenangan PH juga disebabkan kerjasama yang dihulurkan oleh Anwar dan PKR? 

Salahkan Anwar menjadi Perdana Menteri atau menyimpan impian untuk menduduki kerusi berkenaan?