KUCHING: Vernon Kedit  melabelkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai ‘penipu’ dan ‘pengkhianat’ menerusi satu kenyataan yang dihantar ke kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.

Ketika itu beliau ialah Ketua Penerangan PKR Sarawak. 

Beliau mengulas  dakwaan ketidaksempurnaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang menukarkan Hak Tanah Adat (NCR) kepada domain kawasan peribumi.

Kenyataan itu adalah bersifat memfitnah dan menjejaskan reputasi Uggah.

Justeru, Uggah mengheret Vernon ke mahkamah.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Ravinthran N. Paramaguru  membuat keputusan dan mengarahkan Vernon membayar kos ganti rugi berjumlah RM200,000. 

“Defendan juga diarahkan membayar RM40,000 untuk kos guaman,” kata beliau.

Mahkamah juga membenarkan injunksi melarang Vernon mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Uggah, plaintif dalam kes fitnah berkenaan memberitahu Mahkamah Tinggi April lalu bahawa beliau merupakan mangsa fitnah Ketua Penerangan PKR Sarawak itu dan sering dikritik hebat oleh pihak lain, tetapi tiada yang pernah memfitnahnya seperti  dilakukan Vernon.