KUCHING: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam bilik sewanya di MJC, Bandar Baru Batu Kawa dipercayai membunuh diri dengan meminum racun serangga.

Mangsa dikenali sebagai Selvakumar Subramaniam, 31, berasal dari Jerantut, Pahang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh abangnya, Sathes Kumar Subramaniam, 33, sekitar jam 10 pagi ini.

Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Santhes telah pergi ke bilik sewa adiknya dan memanggil beberapa kali tetapi tidak dijawab menyebabkannya bertindak memecah pintu bilik dan mendapatinya dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia.

“Abang mangsa juga menjumpai satu botol yang mengandungi sejenis racun serangga Gold Coin Malathion berada di sudut bilik mangsa, yang mana mangsa disyaki telah minum racun tersebut.

“Pihak paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang sampai di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.