KUCHING:  Perkhidmatan bas sekolah percuma untuk pelajar  di bandar raya ini yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya Mei tahun depan mendapat sambutan baik daripada warga bandar raya ini kerana dipercayai dapat meringankan beban dan masalah mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan kerajaan sedang mengenal pasti beberapa laluan melibatkan kawasan Petra Jaya di Kuching selatan hingga ke Tabuan Jaya.

“Kerajaan GPS akan sediakan bas sekolah percuma di Kuching yang turut dinikmati anak kakitangan awam Persekutuan,” ujarnya.

“Perkhidmatan bas sekolah percuma itu dijangka beroperasi pada April tahun depan. Kita sedang menyediakan bas bersesuaian bagi tujuan berkenaan. Selepas pelaksanaan di Kuching, kita akan meneliti untuk menyediakan kemudahan sama di bandar utama lain,” katanya sambil menambah jika berjaya,  ia akan diperluas  ke Miri, Sibu dan Bintulu.

Katanya, pihak berwajib juga sedang mengenal pasti jumlah bas yang akan digunakan bagi perkhidmatan yang bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa tetapi juga dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak di Banglo Wang, Jalan Bampfylde di sini, semalam.

Abang Johari berkata bas berkenaan akan menyediakan perkhidmatan berdasarkan ‘hop on hop off‘ iaitu pelajar dapat menaiki bas berkenaan untuk ke sekolah masing-masing dalam laluan disediakan.

Pada awal Julai lalu ketika mengadakan sesi townhal di Mukah, Ketua Menteri mengumumkan hasrat menyediakan perkhidmatan berkenaan yang mendapat sambutan amat positif daripada rakyat.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri pada 4 November lalu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan  perkhidmatan bas percuma berkenaan di Kuching. 

“Idea ini lahir kerana kita tahu beban kewangan yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar disebabkan kos pengangkutan untuk ke sekolah,” katanya dalam ucapan Belanjawan berkenaan.

Bagi sesetengah ibu bapa yang mempunyai banyak anak, tambang pengangkutan untuk anak-anak begitu membebankan, jadi bagi mereka, kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak ini dapat melegakan mereka.