JAKARTA: Terperangkap dapam kesesakan teruk tidak mengira pangkat.

Presiden Indonesia Joko Widodo pada Khamis turut terperangkap dalam kesesakan selama setengah jam.

Jokowi terperangkap dalam kesesakan ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Tahunan Bank Indonesia petang petang Khamis.

“Kereta saya tak dapat bergerak selama setengah jam,” katanya seperti dipetik kompas.com.

Beliau berkata itulah sebabnya ibu negara Indonesia perlu dipindahkan.

Jokowi sebelum ini mengumumkan ibu kota negara 270 juta itu akan dipindahkan ke Kalimantan Timur di kawasan seluas 180,000 hektar.

Pembinaan ibu kota moden dengan kos dianggarkan sekitar RM138 bilion itu dijangka bermula tahun depan.

Selepas hadir di lokasi acara Khamis lalu, Jokowi mengongsikan pengalamannya terperangkap dalam kesesakan di Jalan Prof Dr Satrio di Kuningan di sini dengan hadirin.

Seorang pengguna Twitter merakamkan kejadian itu ketika konvoi Presiden terkandas dan memuat naik video berkenaan di platform itu sehingga tular.