Monday, January 24, 2022

Komited tangani isu luar bandar di Sarawak

Secara Rawak

Komitmen GPS dilihat kian meningkat dari hari ke hari dalam menyantuni rakyat Sarawak. Pelbagai projek pembangunan yang diumum serta dirancang GPS bagi memastikan rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Segala perancangan GPS ini bakal dilaksanakan pada tahun 2020 seperti yang telah dibentangkan dalam belanjawan negeri Sarawak awal bulan ini tadi.

GPS merupakan gabungan parti politik tempatan yang mentadbir negeri Sarawak. Pelbagai projek pembangunan telah diumumkan oleh GPS tertutama dalam memastikan perhubungan di antara kawasan luar bandar dan bandar dengan mengutamakan pembinaan jalan-jalan baharu serta pembinaan jambatan bagi merealisasikan usaha murni ini. Contoh, pembinaan jambatan Rambungan yang menghubungakan kawasan Lundu dan Sematan ternyata bakal memberi impak ekonomi kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Malahan, terbaru pengumuman pembinaan jalan serta jambatan bagi menghubungkan Tanjong Bako ke Samarahan merupakan satu tindakan yang proaktif diambil oleh kerajaan Sarawak dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang melanda jalan Samarahan-Kuching pada masa ini. Ini merupakan salah satu penyelesaian kepada kesesakan yang melanda jalan Samarahan-Kuching terutama pada waktu puncak. Projek ini harus dilaksanakan dengan seberapa segera yang mungkin agar dilema yang melanda para penduduk di Samarahan dapat diselesaikan.

Selain itu, projek-projek pembangunan di kawasan luar bandar juga semakin dipergiatkan lagi oleh GPS bagi memastikan kawasan di luar bandar turut mendapat kemudahan yang sepatutnya. Perkara ini penting supaya rakyat yang berada di luar bandar dapat diakses serta melakukan aktiviti harian dengan selesa. Ini bermaksud dengan adanya pembinaan jalan raya, kemudahan bekalan elektrik dan sebagainya ia dapat membantu penduduk di kawasan luar bandar menjalankan kegiatan mereka terutama berkaitan dengan kegiatan ekonomi.

Menerusi pelbagai projek yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak pimpinan GPS, ini menunjukkan GPS berada dalam momentum serta landasan yang tepat sekiranya pilihan raya negeri diadakan dalam masa terdekat. Namun begitu, apa yang paling penting dilakukan oleh GPS ialah melaksanakan segala perancangan yang telah dirancang terlebih dahulu sebelum membuka tirai PRN 12 Sarawak.

Sekiranya pelaksanaan projek yang diumumkan terus dilaksanakan dan impak dapat dilihat oleh rakyat, ia sudah pasti akan memberi banyak kelebihan kepada GPS dalam menempuh PRN 12 nanti. Rakyat sudah pasti mempercayai apa yang dilakukan oleh GPS dan terus memberi sokongan kepada gabungan parti tempatan ini bagi mengemudi bahtera Sarawak.

Rakyat Sarawak sedar, janji manis dalam manifesto seperti manifesto PRU 14 PH yang belum lagi memberi impak yang nyata kepada kehidupan rakyat telah memberi pengajaran kepada rakyat dalam memilih parti politik yang akan membentuk kerajaan. Janji-janji manis dalam manifesto merupakan madu yang beracun yang dikemukakan oleh parti-parti politik yang bertanding bagi mendapatkan kuasa.

Persoalannya, adakah rakyat akan mengundi parti politik berdasarkan apa yang ditawarkan dalam manifesto? Sejauh manakah rakyat sedar dan berhati-hati dalam membuat pilihan berdasarkan pengalaman lalu bila merujuk kepada apa yang ditawarkan dalam manifesto? Persoalan ini harus dirungkai oleh parti-parti politik dalam menyediakan manifesto pilihan raya mereka.

Bagi GPS, dengan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pembangunan di Sarawak sudah pasti akan berhati-hati dalam menawarkan janji-janji dalam manifesto pada PRN ke – 12 nanti. Oleh itu, komitmen GPS yang tinggi dalam melaksanakan projek-projek yang telah diumumkan harus dilakukan dengan segera agar rakyat melihat komitmen tinggi GPS dalam perihal mengotakan segala janji. Ini penting kerana ia akan menjadi penandaarasan kepada rakyat dalam menilai apa bakal disajikan dalam manifesto pada pilihan raya nanti.

Kini, GPS yang dilihat lebih gah daripada parti-parti lain di Sarawak dalam melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat sudah pasti mempunyai banyak kelebihan kenapa rakyat harus memilih GPS bagi terus mengemudi bahtera negeri Sarawak. Apa pun, dalam politik keikhlasan dalam membela serta menyuarakan hak rakyat adalah tuntutan utama bagi sesebuah parti atau aktor politik. Rakyat akan memilih pemimpin yang betul-betul ikhlas berkhidmat untuk rakyat berbanding dengan pemimpin yang mengutamakan kepentingan sendiri daripada kepentingan rakyat.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru