KUCHING: Saberkas berazam memberi perhatian serius kepada tiga bidang utama – pertanian, pelancongan dan sukan.

Presidennya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam menegaskan bahawa pertanian, pelancongan dan sukan merupakan antara bidang yang hendak diterokai secara serius oleh pertubuhan itu.

Sektor berkenaan bagi beliau dapat memberi jaminan pekerjaan dan masa depan untuk generasi muda.

Katanya, bagi sektor pertanian, ahli Saberkas yang mempunyai kemahiran dalam teknologi digalakkan untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian di taman agro yang dibangunkan Kerajaan Sarawak.

Foto Sarawakku

“Mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang pelbagai akan menjadi petani moden dalam usaha kerajaan mengembangkan sektor pertanian tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankausa Tertinggi Saberkas Ke-52 di sini, semalam.

Katanya lagi, terdapat program latihan di Sagrotek di Paya Paloh, Samarahan.

Mengenai sukan, beliau berkata, Saberkas akan mengadakan larian Saberkas sebagai program tahunannya.

“Acara yang kita adakan pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan. Ketika kita berdepan jerebu pun kita mampu menarik minat 2,000 peserta,” jelasnya.