Tuesday, June 28, 2022

Ambil berat terhadap keselamatan pengangkutan sungai di Sarawak

Secara Rawak

MIRI: Kementerian Pengangkutan mengambil berat terhadap keselamatan pengangkutan sungai di Sarawak dengan mempergiatkan rondaan sungai harian, pemasangan papan tanda keselamatan di tebingan sebelum tanjung atau simpang dan pemakaian jaket keselamatan apabila belayar di dalam bot terbuka.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, atas sebab itu insiden kemalangan bot di Kampung Limpaku Pinang, Limbang pada September tahun lepas dibincangkan.

“Dalam insiden itu, empat terbunuh membabitkan dua lelaki rakyat Limbang dan dua lagi wanita dari Brunei selepas sebuah bot penumpang tempatan yang membawa enam penumpang bertembung dengan bot laju Brunei yang membawa 20 penumpang.

“Kejadian itu telah membuka banyak pihak bahawa keselamatan di sungai perlu diberikan perhatian selain di kawasan darat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Mengenai Hal-Hal Pengangkutan Air Sarawak di Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Bahagian Miri.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah Kerajaan Sarawak sangat memandang berat kepada kebersihan sungai yang menjadi kegunaan harian penduduk.

“Sebanyak 13 sungai telah digazetkan iaitu Sungai Miri, Sungai Baram, Sungai Limbang, Sungai Trusan,Sungai Lawas, Sungai Sedupai, Sungai Tatau, Sungai Kemena, Sungai Similajau, Sungai Nyalau, Sungai Suai, Sungai Niah dan Sungai Sibuti sebagai sungai yang perlu diberikan perhatian disebabkan kepentingannya kepada masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, kerjasama yang lebih erat di antara Majlis Perbandaran Miri, Lembaga Sungai Miri dan Jawatankuasa pendududk setempat sangat diperlukan bagi memastikan kebersihan sungai dapat dipelihara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru