Friday, August 19, 2022

Semai budaya bantu rakan yang gagal

Secara Rawak

SERIAN: Masyarakat Bidayuh perlu mengikiskan budaya ‘ketam’ sekiranya ingin komuniti berkenaan terus berdaya saing dengan kaum lain di negeri ini. Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, mentaliti seumpamanya itu hanya akan menjadikan kaum Bidayuh ketinggalan dalam era ekonomi digital kini.

Jelasnya, masyarakat Bidayuh sepatutnya bersatu padu dan saling melengkapi bagi memastikan komuniti itu bergerak seiringan menuju negeri maju menjelang 2030.

“Buang dan kikis mentaliti ‘ketam’ ini jauh-jauh. Jika kawan kita gagal, kita sepatutnya membantu dia bangkit semula dan memberi semangat dan sokongan kepadanya.

“Janganlah disebabkan rakan anda gagal, anda bertindak mentertawakan mereka. Ini salah, sepatutnya bantu rakan anda untuk capai semula matlamat yang diinginkan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Anugerah Kecemerlangan di Dewan Serbaguna Ranchan, semalam.

Manyin menambah, anak-anak komuniti Bidayuh tidak kurang hebatnya juga dalam bidang akademik. Katanya, generasi muda Bidayuh juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan teknologi maklumat selain menguasai bahasa Inggeris.

“Dunia pekerjaan kini memberi penekanan kepada penguasaan berteraskan bahasa Inggeris dan ini merupakan satu kelebihan kepada anak Bidayuh jika ingin mendapat pekerjaan yang lebih berdaya saing,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru